Tuesday, April 13, 2010

strata sukma

i'm back!

this is a piece of writing that i wrote a very long time ago, years ago.one friend of mine asked me to put it here.so this posting is to entertain such request.it is of course a pure imagination. hope readers can be benefited by reading it.

Cerpen: Strata Sukma




Ah! Bosan! Tak ada soalan lain ke mereka nak tanya? Balik-balik soal aku yang masih solo ini juga yang diperkatakan. Pelik benarkah gadis berumur 27 macam aku ni masih belum terbuka hati lagi hendak bernikah. Ini zaman moden, zaman teknologi, zaman siapa cepat, bijak dan kuat berusaha, dia akan jadi juara. The loser must fall. Dan aku…Zahratul Ulya Ahmad Amir bukanlah dari mereka yang tewas. Argh…biarkanlah Mak Lang, Mak Uda dan Cik Ida tu. Dah bosan bercerita diamlah mereka. Fitrah manusia. Jangan biarkan halangan sekecil itu membantutkan cita-citamu yang satu itu Zahratul Ulya. Cita-citaku yang satu itu??

“Umi..Lia nak berjaya dulu, nak bahagiakan Umi dan adik-adik. Setelah ayah pergi kami dah banyak susahkan Umi. Inilah peluang Lia nak balas jasa Umi.Lia harap Umi faham dan tak desak Lia terima lamaran sesiapa lagi”

Itulah alasan yang selalu kuberikan pada Umi. Bila keluarga Ajmal datang merisik, keluarga Ustaz Mukhlis datang bertanya semuanya ditolak dengan alasan yang sama.

Setiap kali alasan itu diutarakan Umi hanya mampu terdiam, dibiarkan alasan tiada berbalas hujjah. Dan aku tahu Umi sebenarnya hampa dengan penolakanku itu. Wajah Umi yang selalu tenang itu tidak dapat menyembunyikan kehampaannya. Maafkan Lia Umi. Bukan niat Lia untuk menghampakan Umi. Satu hari Umi akan tahu jua. Umi akan arif jua, insyaAllah.

Biarlah masa berlalu, Zahratul Ulya akan sedaya upaya berusaha menggapai impiannya. “Ya Allah, Engkau yang Maha Tahu, padaMu sahajalah tempat aku bergantung harap, Kau berkatilah usahaku ini, Kau bimbinglah Aku mencari cintaMu dalam diri insan yang MencintaiMu melebihi kecintaan kepada apa-apa pun di dunia ini”

Jurnal Ulya,

20 Mac 2005

Ada sedikit perkembangan. Semalam Athirah mendapat maklumat bahawa dia sudah beristeri. Aduh walangnya hati ini, Ya Allah inikah kesudahannya? Tetapi baru sekejap tadi Athirah SMSku, “Lia, selamat berjuang. Perempuan yang aku nampak semalam itu adiknya, dia masih solo, moga Allah mempermudahkan urusanmu. Aku macam terbau nasi minyak pulak..heheh”
Terima kasih sahabat, semoga Allah memberkati usahaku ini.
Berusahalah Zahratul Ulya.

Setelah pulang dari Mahkamah Tinggi menyelesaikan urusan auction, Ulya pulang ke pejabat. Ada 3 jam lagi sebelum pukul dua petang. Nanti dia akan ke sana lagi. Untuk sebutan kes baru yang dikendalikannya. Begitulah rutin Ulya. Memang memenatkan. Apatah lagi bekerja dengan orang. Bila cukup wang dan pengalaman, Ulya menyimpan angan-angan untuk memiliki firma guaman sendiri. Cita-citanya mahu membela nasib anak bangsa sendiri. Mungkin kata orang itu hanya angan-angan tapi Zahratul Ulya percaya setiap impian bermula dengan angan-angan. Ulya selalu teringat kata-kata perangsang yang dibacanya ketika dia di bangku sekolah menengah. Kata Carl Sandburg, “nothing happens unless first a dream”. Dan sebagai seorang Muslimah, Ulya sedar dia memikul tanggungjawab membetulkan persepsi bahawa wanita Islam tidak terbela dan ditindas. Zahratul Ulya mahu membuktikan wanita Islam boleh berjaya kerana mereka diberikan hak yang sama rata seperti jua lelaki. Dan hak ini dijamin Allah di dalam Al Quran. Kalam Allah itu benar semuanya.

Ulya menghabiskan hirisan tembikai susu. Itulah makan tengah harinya hari ini. Tadi, sebelum ke pejabat dia berselera sekali menjamah sarapan yang disediakan Umi. Air tangan Umi memang serasi dengan Ulya. Iyalah, Ulya kan anak Umi!

15 minit lagi sebelum msuk waktu Zuhur. Ulya mengenakan telekung, menghampar sejadah. Alhamdulillah, Ulya punya bilik sendiri. Tidak pelu berkongsi dengan Jane, Suganthi atau Hafiz dan Desmond. Jadi dia bebas di biliknya. Nak buka tudung pun tiada masalah. Ulya bersiap awal, membaca Al Quran sebelum solat. Ulya telah melazimkan dirinya membaca 4 halaman Al Quran setiap kali selepas solat. Hari ini dia tidak upaya melakukannya selepas solat lalu dia membacanya sebelum solat. Nanti terkejar-kejar pula ke mahkamah. Terlambat nanti, nayalah dia dimarahi tuan hakim. Ulya tidak mahu itu terjadi.

“Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji dan lelaki-lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula) dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk wanita-wanita yang baik (pula)…”

Ayat 26 Surah An Nur itu diulang-ulang. Didalami sepenuh hati. Ayat Allah itulah yang memotivasi Ulya mengenali dan mendekati ‘dia.’ Jejaka yang telah mencuri perhatian Ulya. Ulya memasang angan-angan sejak kali pertama berselisih dengan jejaka itu di sebuah masjid di tengah-tengah ibu kota. Ulya jarang-jarang pergi ke masjid itu. Hanya bila dia berkesempatan dan rindu untuk bersembahyang jemaah.

Perigi mencari timba! “Kau ni biar betul Lia, aku nak tanya ni..tapi kau jangan marah. Kau tak takut ke nanti orang kata perigi mencari timba?”Itulah reaksi pertama Athirah setelah kusuarakan hasrat hatiku agar dia membantuku menjejaki ‘dia’. Athirah bekerja sebagai juruaudit di Allen & Bourne. ‘Dia’ pula adalah seorang konsultan di Annajah Training Centre, pejabat mereka di bangunan yang sama.“ Thirah, aku tak kisah apa pun pandangan orang lain. Apa salahnya perempuan yang memulakan? Aku rasa istilah “perigi mencari timba” perlu kita hapuskan saja. Sanggup kau kata Saidatina Khadijah Radiallahu Anha itu macam perigi mencari timba? Saidatina Khadijah melamar Nabi Muhammad s.a.w. kerana tertarik dengan kesempurnaan akhlak baginda. Saidatina Khadijah jatuh cinta dengan keperibadian Rasulullah s.a.w. Kau tahu tak kenapa aku masih sendiri? Kerana aku mencari, Thirah, aku mencari yang terbaik”. Yang terbaik untuk kuisi di lapisan dalam sukmaku. Mencari yang layak menghuni strata sukmaku. Athirah cuma mampu memandangku.

Alhamdulillah, Athirah teman sekampusku itu sudi membantu. Tentu saja dia tidak menghampakan aku. Sejak setahun lalu, Athirah sedikit sebanyak membantu aku mengenali ‘dia’. Kata Athirah, dia dah jadi macam Inspektor Aliza dalam siri Gerak Khas! Athirah pernah menyamar sebagai klien yang berminat mengetahui khidmat yang ditawarkan Annajah Training Centre semata-mata ingin mendapatkan maklumat mengenai ‘dia’. 28 tahun, BSc. Mech. Engineering dari Purdue University, West Lafayette. Memberansangkan, tapi kenapa dia memilih menjadi konsultan? Graduan luar negara sepertinya tentu saja tidak menghadapi masalah menempatkan diri di syarikat besar. Dan satu lagi, ‘dia’ ini sangat simple orangnya. Konsultan yang aku tahu biasanya berpakaian kemas, tapi dia selalu berkemeja biasa dan berkopiah pula. Sungguh dia mencuri perhatianku. Argh Ulya, berhenti bermimpi. Fikirkan tindakan seterusnya. Azan berkumandang dari masjid di tengah ibu kota. Tentu ‘dia’ sudah di masjid… Hey Ulya! Kau berkhayal lagi. Dirikan solat mu dengan khusyu!’

Jurnal Ulya bertambah lagi.

15 April 2005

Tadi sewaktu makan tengah hari Athirah mencadangkan aku berterus terang padanya. “Bagaimana?” soal ku. “Gunakan faedah teknologi. Read this” Athirah menghulurkan pamphlet ‘Islamic Way of Handling Stress’- Annajah Training Centre. “What is this?”. Aku mengangkat kening tanda tak faham. “Look at the back”. Ada nama ‘dia’ berserta alamat e-melnya, nombor telefon pejabat dan juga nombor telefon bimbitnya. “Kau boleh e-mel dia, kalau kau takut. Kalau berani sikit SMS, kalau lagi berani, call dia”. “Zahratul Ulya memang wanita berani, aku akan jumpa dia face to face!”. Athirah terhenti menyuap. Dia memandangku, terlongo. “Kenapa? Tak percaya”. Ulya tekad.

22 April 2005

Gementar? Siapa kata aku tak gementar. Bagai nak luruh jantung. Di tengah-tengah masyarakat yang masih utuh memegang adat perigi tidak boleh mencari timba, aku menongkah arus. Biarlah apa orang nak kata. Tapi, nanti apa kata ‘dia’?. Argh! Teruskan Zahratul Ulya, belum cuba belum tahu. Kejayaan itu milik orang yang kuat semangat.

“Assalamualaikum, saudari…?”
“Ulya…Zahratul Ulya”
“Alhamdulillah, cantik nama tu.”
“Saudari Ulya dari agensi mana dan module mana yang saudari berminat?”
“Saya…saya..err..sebenarnya saya datang bukan untuk tujuan itu”
“Mmm..bagaimana saya boleh bantu saudari?”
Zahratul Ulya mengumpul kekuatan.
“Saya ingin mengenali saudara…dengan lebih dekat. Mungkin saudara tidak percaya, tapi saya telah lama memerhatikan sudara dari jauh”
Khali seketika. ‘Dia’ tidak memberi reaksi seperti yang ku jangkakan. Tak terkejutkah dia? Tak pelikkah ‘dia’ perigi yang mencari timba? Tak ada perasaankah ‘dia’ ni? Ajaib. ‘Dia’ sekadar tersenyum. ‘Dia’ memang manusia ajaib.

25 April 2005

Mendapat e-mel pertama dari ‘dia’.

Assalamualaikum saudari Ulya. Keberanian saudari menambat hati saya. Saya perlu lebih mengenali saudari. Dalam diam, sebenarnya saya telah lama memerhatikan saudari. Saya tidak pernah terlepas membaca nukilan berkala saudari di majalah Usrati. Penulisan yang sarat idea dan pengajaran. Tak sangka penulisnya begitu bersahaja orangnya. Saya bangga dengan usaha saudari. Setiap amal yang baik yang dilakukan dengan ikhlas akan mendapat ganjaran yang baik jua daripadaNya.

Cuma, saya masih perlukan ruang untuk diri saya sendiri. Mencari cinta Ilahi tidak semudah memiliki cinta insani. Kalau sudah ketentuan Ilahi kita bersama, insyaAllah akan dipermudahkan olehNya.

HambaNya yang dhaif,
Ahmad Musyaahiid.

Memerlukan ruang untuk dirinya sendiri? Berikan aku sedikit ruang untuk tulus mengenalimu, Ahmad Masyaahiid. Ulya memasang angan-angan. Argh! Berangan lagi!

Dua minggu, tiga minggu. Sepi. Tiada e-mel kedua darinya. Dan tiada pula bayangnya di masjid di tengah ibu kota, di Restoran Khalifah, tiada di mana-mana. Athirah juga telah kehilangan jejaknya. Ke mana ‘dia’ menghilang? Hati Ulya dipagut resah. ‘saya masih perlukan ruang untuk diri saya sendiri’. Takkanlah tindakan nekadku itu membuat ‘dia’ menjauh diri?. Ulya mati akal.

Minggu keempat. Ulya harus melakukan sesuatu. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

13 Mei 2005

Hari ini adalah hari yang paling ‘istimewa’ dalam hidupku. Mendapat titipan kata-kata dari ‘dia’.

Zahratul Ulya,
Ulya memang istimewa di hati saya. Membaca nukilan pandangan kritis mahu pun puisi puitis Ulya menggamit hati saya mengenali penulisnya, Syifa’. Melalui Editor Majalah Usrati, saya mengetahui serba sedikit mengenai Ulya. Tak sangka kita berjiran dan kerap pula bersua, walau tidak bersapa. Maha berkuasa Allah!

Ulya,
Hidup ini fana. Setiap sesuatu yang ada di dunia ini adalah milik Allah dan akan kembali kepadaNya jua. Inilah hakikat hidup. Alhamdulillah, saya di pilih Allah untuk memahami hakikat ini, sebelum terlambat. Didatangkan peringatan ini dengan pemergian sahabat, Atif Tanveer.

Tahun-tahun di Purdue adalah saat yang ‘indah’ bagi yang berjiwa muda seperti saya. Segala bentuk kemaksiatan yang tidak akan dilakukan oleh Muslim yang beriman adalah ‘hidup’ saya di Purdue. Melayu yang hilang kemelayuannya. Muslim yang hanya tinggal nama. Dunia yang terlalu gelap. Sejarah yang amat hitam yang ingin saya lupuskan dari kotak ingatan.

Di tahun akhir pengajian, saya ditemukan dengan Atif, serasa saya satu-satunya pelajar yang berjambang lebat di Purdue Universiti. Dan lazimnya, dengan identiti sedemikian, mudah sahaja dia mendapat gelaran ‘extremist, Muslim terrorist’. Setelah Mark Johannson tamat pengajiannya dan pulang ke tempat asalnya, Atif Tanveer yang ‘mendapat perhatian’ ramai itu menjadi teman serumah saya. Di mana-mana sahaja dia berada pasti ada mata-mata yang memandang serong. Sesetengahnya sarat kebencian. Tapi Atif seperti biasa. Dia tetap seorang Muslim yang taat. Atif gembira kerana teman serumahnya adalah seorang Muslim. Bagi saya kehadiran Atif Tanveer adalah bala.

Atif Tanveer sentiasa solat di awal waktu dan tidak pernah meninggalkan solat Jumaat walau terpaksa menempuhi perjalanan selama satu jam untuk ke masjid yang terdekat. Atif selalu mengingatkan saya tentang solat, larangan minum dan pergaulan bebas dengan wanita-wanita. Jiwa saya sesak! Ini Amerika bukan macam di Pakistan tempat asal mu itu! Di bumi Amerika yang bebas ini, setiap orang berhak melakukan apa sahaja! Ini negara bebas. Kan di bumi Amerika ini tersergam indah Statue of Liberty? Kau jangan jadi kolot Atif! Dan kalau kau nak kekal jumud, tolong jangan ajar aku jadi jumud macam kau!! Begitulah betapa bencinya saya pada Atif Tanveer.

Atif Tanveer tahu saya meluat dengannya. Dia arif benar kebencian saya terhadapnya. Tapi dia tetap bermanis muka, dan kerap pula datang ke bilik, bercerita tentang macam-macam perkara. Banyak yang saya tidak tahu atau memang tidak berminat untuk ambil tahu. Atif paling suka bercerita tentang Hamas, tentang Intifadha. Tentang syahiid, jihad. Atif kata nama saya indah maknanya. Yang syahid. Yang mati syahid di jalan Allah. Macam Syeikh Ahmad Yassin katanya. Siapa Syeikh Ahmad Yassin?Nama Ahmad Musyaahiid itu arwah Tokwan yang bagi. Yang mati maksudnya??

Suatu malam minggu, seperti biasa saya pulang lewat pagi. Anak muda seperti saya tentu saja penuh aktiviti di malam minggu. Hidup muda hanya sekali. Sampai di pangsapuri, saya lihat lampu meja Atif masih terpasang. Kesian kau Atif, orang lain seronok-seronok di luar, kau di meja belajar. Lantak kaulah! Ketika melewati biliknya, saya menoleh. Atif bukan di meja belajar. Atif bukannya berjaga mengulangkaji pelajaran. Tapi Atif Tanveer sedang sujud. Lama saya memerhatikan dia, tanpa disedarinya. Sujud yang lama, ketika sujud itu badan Atif terhenjut-henjut. Atif menahan tangis! Tiada yang jelas kecuali tangisannya. Ketika itulah suatu rasa yang pelik menyelinap ke dalam hati saya. Rasa takut? Bukan! Sedih? Juga bukan! Bukan rasa terkejut! Tapi perasaan itu sampai saat ini tidak tergambar dengan kata-kata. Suatu rasa yang tidak boleh saya kongsi dengan sesiapa. Badan saya terasa sejuk. Dan sehingga fajar keesokan harinya, saya tidak dapat melelapkan mata.

Pagi-paginya Atif Tanveer menyediakan sarapan ringkas. “Well Being Sandwich” katanya.“It tastes good, u will never find this anywhere else”. Sempat dia berjenaka. Sandwich itu ada serat dan cukup sayuran segar. Menu ringkas dan sihat untuk sahabat yang disayanginya, kata Atif lagi. Entah kenapa hari itu saya rasa mahu bercakap dengannya. Sebenarnya saya mahu bertanya kenapa dia menangis semalam. Tetapi terasa janggal. Terasa janggal untuk berbuat baik dengan orang yang saya anggap seperti musuh. Sambil makan Atif mengajak saya sembahyang Jumaat. Dia tahu saya ada kelas pagi nanti. Nanti katanya dia boleh tunggu saya di kafeteria.

Tidak seperti Jumaat-Jumaat yang lalu, hari itu saya terasa seperti mahu mengikutnya. Tapi lidah kelu untuk bersuara. Saya malu. Saya malu untuk solat. Saya sudah kekok untuk solat. Sudah bertahun-tahun saya tidak solat. Ah malunya! Seorang Muslim malu untuk solat kerana dia sudah lupa bagaimana untuk melakukannya. Sungguh menyedihkan.

Saya diam. Diam yang tandanya tidak setuju. Atif, seperti biasa, tetap tersenyum. Dia memang manusia ‘ajaib’. Seharian itu saya bingung. Saya teringat Allah. Saya sebut Allah..Allah..Allah. Saya rasa mahu sembahyang. Saya teringat ayah ibu, arwah nenek dan Tokwan. Saya mahu Atif mengajar saya sembahyang.

Sudah lewat petang. Sepatutnya Atif sudah pulang. Selalunya dia solat Maghrib sendirian di rumah. Tapi Atif tidak juga muncul. Hati saya resah. Tiba-tiba sahaja timbul rasa sayang pada Atif Tanveer.

Malam. Atif masih belum balik. Saya menunggunya sehingga tertidur.

Pagi Sabtu yang sugul. Tidur saya dikejutkan dengan ketukan di pintu. Seorang lelaki dalam lingkungan usia 40 an, memperkenalkan dirinya sebagai Khurshid. Dia membawa khabar, Atif Tanveer telah pergi. Dia dilanggar kereta ketika cuba melintas jalan setelah usai menunaikan solat Jumaat. “We got this with him. A note for you”. Sekeping kertas di tangan Khurshid bertukar tangan.

Atif Tanveer telah pergi buat selamanya. Yang tinggal hanya nota itu,

“Ahmad.. There was a man who decides to change on 12th hour, however he died on the 11th. It’s never too late to submit to your God. He loves you. Please answer His call for you will find complete freedom and happiness in this world and hereafter.”

Kata-kata terakhir itu membuka jalan hidayah. Melalui cinta Atif Tanveer saya kembali mencari cinta Ilahi yang hakiki. Hingga saat ini saya masih mencari. Pencarian ini tidak akan berakhir. Cinta Ilahi itu ada saja di mana-mana di sanubari kita. Ada di sekeliling kita. Namun, mencari cinta Ilahi itu tidak semudah memiliki cinta insani. Kerana itu saya di sini. Bersama saudara seaqidah yang lain, menjaga Masjidil Aqso dari dicerobohi Yahudi yang angkuh. Atif kata nama saya indah. Yang mati di jalan Allah. Saya mencari cintaNya di sini. Saya menagih janjiNya di sini. Saya menelusuri semangat As Syahiid Syeih Ahmad Yassin. Saya menemui ruh intifadha dalam jiwa anak-anak muda di Najah, Gaza, Al Khalil, Birzait, Al Quds. Di mana-mana sahaja di bumi bertuah ini saya dapat merasa ruh perjuangan. Saya dapat merasa panggilan cintaNya. CintaNya adalah yang pertama di strata sukma ini.

Strata Sukma

Strata sukma…
Bertatih mencari makna
Terus meningkat meniti cahaya
Di dalam hidup menjadi bintang dan pelita

Strata sukma
Mendamba ‘Syurga’ membawa ke Syurga.

HambaNya yang Dhaif
Ahmad Musyaahiid
Al Quds, Bumi Bertuah.

16 Mei 2005

Jurnal harian Ulya- “MENGENALI DIA” ternoktah di sini. Mengenali dia, Ahmad Musyaahid membuka lembaran baru mengenali DIA yang haqiqi. Ulya akan kenang Ahmad Musyaahiid, cinta Ulya di lapisan kedua dalam strata sukmanya.

Ulya ucap dalam-dalam, sepenuh pengharapan “Ya Allah, cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya padaMu, agar bertambah kekuatanku mencintaiMu”.

HuRRiYYati
MCIIUM, 11.31 a.m, 16 Mei 2005

No comments:

Post a Comment